JOHOR BAHRU – Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor bersama tujuh anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam ditahan semalam bagi membantu siasatan kes pemerasan melibatkan wang tunai RM35,000.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua lapan individu berusia 20 hingga 50 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima Polis Kontinjen Johor berhubung kejadian itu pada 9.32 malam, kelmarin.
“Kita menerima laporan berkaitan kes dakwaan pemerasan membabitkan wang tunai berjumlah RM35,000 oleh pegawai dan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Seri Alam.
“Kes diklasifikasikan dan disiasat bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana pemerasan. Kes masih pada peringkat siasatan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Terdahulu, seorang tukang cuci wanita berusia 41 tahun dikatakan membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa seorang anggota polis meminta wang RM40,000 bagi membebaskan adiknya yang ditahan berkaitan kes dadah.
Pengadu dikatakan hadir ke IPD Seri Alam dan menyerahkan wang berjumlah RM35,000 kepada anggota polis berkenaan, namun mendakwa bahawa adiknya masih tidak dibebaskan hingga kini. – KOSMO! ONLINE