JEMPOL – Dua sahabat dikenakan hukuman denda sebanyak RM9,000 setelah mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Bahau, di sini, hari ini atas tuduhan mencuri 12 ekor lembu di kawasan Felda Pasoh 3, bulan lalu.
Tertuduh Tengku Adam Azizi Tengku Ismail, 45, dan Mohd. Hairulhisam Md Noh, 42, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norshazwani Ishak.
Majistret turut menetapkan tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan bayaran denda berkenaan dan barang kes yang ada iaitu lembu dikembalikan semula.
Berdasarkan pertuduhan bersama, mereka didapati telah mencuri 12 ekor lembu milik seorang lelaki kira-kira pukul 3 petang di kebun sawit Felda Pasoh 3, Batu Kikir, 27 Januari lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farahidah Zool Beri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE