TAPAH – Polis berjaya menangkap tujuh lelaki etnik Rohingnya tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor di ladang kelapa sawit Felcra Jalan Kachu di sini kira-kira pukul 3 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Mohd. Naim Asmawi berkata, setakat ini, seramai 98 tahanan telah berjaya ditangkap dengan 31 orang masih diburu.
“Polis percaya baki tahanan masih di kawasan Tapah dan operasi khas masih diteruskan.
“Mereka (tahanan lolos) tidak mempunyai apa-apa bekalan, jadi mereka ke kawasan berdekatan seperti di hentian rawat dan rehat (R&R) Tapah arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (berhampiran dengan Felcra Jalan Kachu) untuk mencari sumber makanan.
“Saya memuji tindakan orang awam awam yang memberikan makan kepada tahanan dan kemudian segera menelefon polis supaya mereka ditangkap dengan segera,” katanya pada media di lokasi kejadian petang tadi.
Difahamkan, tahanan lolos itu dikatakan telah menetap selama dua hari di ladang sawit itu dan bertindak memotong dahan kelapa sawit dan menjadikan kain pelekat sebagai alas untuk tidur. – KOSMO! ONLINE