fbpx

Tiada kes peniaga sorok gula tahun ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nizam (tengah) memantau bekalan gula dan minyak masak peket di sebuah pasar raya di Alor Setar, hari ini.

ALOR SETAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menyorok bekalan gula menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan cuti sekolah ini atau berdepan tindakan tegas.

Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, peruncit diminta untuk mematuhi peraturan ditetapkan dan pihaknya akan terus memantau semua premis perniagaan di negeri ini.

“Jangan sorok barang kawalan termasuk gula, ikut peraturan ditetapkan KPDN. Tindakan tegas akan diambil ke atas peniaga yang didapati melakukan kesalahan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2024 peringkat negeri di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Katanya, pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung kesalahan menyorok gula pada tahun ini.

Menurutnya, peniaga yang didapati menyorok barang kawalan boleh disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kedua, hukuman adalah denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara bagi pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM2 juta dan bagi kesalahan yang kedua didenda tidak melebihi RM5 juta,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, bekalan makanan di pasaran negeri ini juga didapati mencukupi selain tiada kes pembelian panik.

“Walau bagaimanapun seramai 176 penguat kuasa KPDN akan terus melakukan pemantauan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah bagi memastikan semua peniaga mematuhi peraturan ditetapkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI