BERITA kematian aktres Poonam Pandey, 32, akibat kanser servik pada 2 Februari lalu mengejutkan industri perfileman Bollywood dan peminat tegarnya.
Namun, selebriti merangkap model sensasi itu mencetuskan kemarahan ramai sehari kemudian apabila tampil menjelaskan dia tidak mati seperti yang diumumkan pengurusnya
Akui Poonam, isu meninggal dunia sengaja dibangkitkan bagi menyuntik kesedaran ramai terhadap penyakit kanser servik.
Tindakan kurang bijaknya itu mengundang padah apabila ramai mengecamnya dengan mengatakan kematian bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan.
Begitupun, bintang yang terkenal dengan imej seksi itu tetap mempertahankan tindakannya dengan menegaskan mati mampu membuatkan orang ramai peka terhadap barah.
Baginya, kempen sedemikian mampu meraih maklum balas pantas berbanding menyebarkan pesanan khidmat masyarakat.