HULU LANGAT – Bekas isteri pelakon Hafidz Rosdi, Nurul Shuhada Mat Shukri akur apabila perbicaraan hari pertama berhubung kes dicederakan bekas suami yang dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini terpaksa ditangguhkan pada 2 dan 3 Julai depan.
Keputusan itu diputuskan oleh Hakim Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Siti Fatimah Talib, susulan Hafidz tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masalah kesihatan.
Shuhada yang ditemui di pekarangan mahkamah memberitahu, dia yang kini menetap di Perlis terpaksa berkorban masa dan tenaga demi menuntut hak keadilan buatnya di mahkamah hari ini.
“Saya tinggalkan anak-anak dengan keluarga di Perlis dan datang ke sini dengan menaiki bas pagi tadi untuk hadir ke perbicaraan hari ini.
“Bagaimanapun ketika perbicaraan berlangsung, saya dimaklumkan Hafidz tidak dapat hadir kerana mengalami masalah kesihatan sehingga kes ini terpaksa ditangguhkan pada 2 dan 3 Julai nanti.
“Apa pun doakan saya dan anak-anak semoga kemenangan berpihak kepada kami,” katanya.
Susulan itu, Shuhada, 30, berharap bekas suaminya itu dapat memberikan kerjasama pada sebutan tarikh baharu yang telah ditetapkan mahkamah.
“Memang kita nak fokus betul-betul kepada kemenangan. Saya tahu saya tidak salah.
“Saya harap pada 2 dan 3 Julai nanti, kami boleh berjumpa dan selesaikan perkara ini,”katanya.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenai kesihatan pelakon itu, Shuhada berkata dia tidak tahu masalah yang dihadapi Hafidz, namun mendoakan agar lelaki itu cepat sembuh.
Terdahulu, pihak pembelaan mewakili Hafidz akan mengemukakan representasi terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya iaitu mencederakan isteri, Nurul Shuhada Mat Shukri pada 13 Mac tahun lalu dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, Selangor.
Pelakon drama Melastik Ke Hatimu itu sebelumnya sudah dibawa ke Hospital Bahagia pada 29 Mac untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323. – KOSMO! ONLINE