BALING – Seorang lelaki maut apabila van yang dia pandu terbabas ke bahu jalan bercerun di Jalan Kampung Kuala Bakong, Kuala Ketil, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi itu, mangsa, Meh Md. Zeen, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh badan.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika van jenis Nissan yang dipandu mangsa datang dari arah Baling untuk mengambil pekerja kilang di Padang Serai, dekat sini.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, van tersebut dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kanan jalan lalu terjatuh ke kawasan cerun sebelah kanan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan mangsa tersepit dan mengalami kecederaan parah di seluruh badan.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Daerah Kulim untuk bedah siasat,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada mangsa yang hilang kawalan dan terbabas sendiri dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE