fbpx

Pemandu lori didakwa bunuh anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesigan ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini. Foto oleh Shidiqqin Zon/KOSMO!

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh anak saudara lelakinya berusia setahun enam bulan dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh M.Kesigan, 28, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Farah Azura Mohd. Saad.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membunuh T.Hudesh berusia setahun enam bulan di sebuah unit blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang di sini pukul 11.15 malam pada 24 Januari lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 April ini untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Pada 26 Januari lalu, Kosmo! melaporkan sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes kematian seorang bayi lelaki di PPR Lembah Subang di sini.

Suspek yang juga ibu bapa saudara kepada mangsa berusia setahun enam bulan itu difahamkan merupakan penjaga kepada bayi itu setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja.

Bapa saudaranya berusia 20-an telah membawa mangsa ke Hospital Shah Alam selepas dikatakan tidak sedarkan diri di kediaman terbabit

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika rawatan dan hasil pemeriksaan serta bedah siasat mendapati terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat didera.

Difahamkan, bayi terbabit akan dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya ke tempat kerja dan dijaga oleh pasangan suami isteri itu

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian itu dan kes diklasifikasikan bunuh.

Katanya, hasil bedah siasat mendapati terdapat unsur penderaan ke atas bayi terbabit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI