IPOH – Pasangan tunang yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes cubaan bunuh seorang anggota polis di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor dekat sini kelmarin, direman selama tujuh hari.
Majistret Siti Nora Sharif membenarkan kedua-dua suspek berusia 33 dan 34 tahun itu direman bermula hari ini sehingga Isnin depan.
Perintah reman itu bagi membolehkan polis melakukan siasatan kes mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
Dalam kejadian pada pukul 7.30 malam semalam itu, anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 34 tahun itu cedera patah tulang rusuk dan bahu.
Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan setugas ingin membuat pemeriksaan ke atas sebuah kereta Proton Iriz yang dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan.
Bagaimanapun, pemandu kereta itu bertindak mengundurkan kenderaan sebanyak dua kali lalu melanggar mangsa sebelum memecut laju untuk melarikan diri.
Kedua-dua suspek kemudian berjaya diberkas dalam tempoh kurang 24 jam di kawasan Tanjung Rambutan semalam. – KOSMO! ONLINE