ISLAMABAD – Sekurang-kurangnya 10 anggota polis terbunuh selepas berpuluh-puluh militan melancarkan serangan ke atas sebuah balai polis di utara Pakistan semalam.
Serangan berlaku beberapa hari sebelum rakyat Pakistan keluar mengundi dalam pilihan raya umum yang sebelum ini menyaksikan berpuluh-puluh calon dan penyokong parti politik diserang ketika berkempen.
“Lebih 30 pengganas melancarkan serangan dari tiga arah berbeza. Insiden berbalas tembakan berlaku selama lebih dua setengah jam,” kata ketua polis wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Akhtar Hayat Gandapur.
Menurutnya, seramai 10 anggota dan pegawai polis, manakala empat lagi cedera dalam serangan ke atas Balai Polis Chaudhwan di daerah Dera Ismail Khan pagi semalam.
Pemangku Perdana Menteri Pakistan, Anwaar-ul-Haq Kakar mengecam sekeras-kerasnya serangan itu.
“Seluruh negara berdiri bersama anggota polis dan pasukan keselamatan dengan memberi tabik hormat kepada syuhada tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Seorang pegawai kanan kerajaan memaklumkan bahawa wujud ‘ancaman serius’ di selatan Khyber Pakhtunkhwa di mana serangan itu berlaku.
“Pengganas mula bercampur dengan penduduk tempatan sehingga menyebabkan sukar untuk pihak kami melancarkan operasi membanteras mereka,” katanya. – AFP