MELAKA – Melaka menawarkan kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan popular di negeri ini sempena Hari Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 20 Februari ini.
Lokasi-lokasi terlibat adalah Zoo Melaka, Melaka Wonderland & Themepark, Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari dan Malaysia Heritage Studios.
Selain itu adalah, Muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Balai Cerap Al-Khawarizmi, Taman Laut Melaka, kelab-kelab golf Melaka dan Muzium Penjara Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, tawaran tersebut dibuka kepada seluruh rakyat Malaysia yang berkunjung ke Melaka pada hari tersebut.
Ujarnya, kerajaan negeri juga menyediakan parkir secara percuma di seluruh kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Terdapat dua sesi bagi kemasukan percuma di Zoo Melaka iaitu pada pukul 10 pagi hingga 12.30 tengah hari dan sesi dua pada pukul 2 petang hingga 3.30 petang.
“Bagi mereka yang ingin menaiki bot MRC, ia akan bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang, manakala Menara Taming Sari bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang,” katanya dalam sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambahnya, sambutan Majlis Memperingati Pengisytiharan Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu akan turut diadakan pada hari tersebut bermula pada pukul 4 petang dengan perarakan Kereta Tunku M4442 bersama rombongan di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir.
“Seterusnya diadakan pembacaan Watikah Kemerdekaan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disusuli dengan bacaan Yasin dan tahlil.
“Pada pukul 6 petang pula, bertempat di Pekarangan Muzium Istana Kesultanan Melayu Melaka, acara diteruskan dengan Malam Aneka Warna menampilkan Persembahan Teater Muzikal bertajuk ‘Di Atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Negara Baharu’,” katanya. -KOSMO! ONLINE.