MELAKA – Seorang Ketua Jabatan persekutuan berkaitan sektor pelancongan di negeri ini dan seorang pengarah syarikat masing-masing direman lima dan empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berjumlah RM49,900, tahun lalu.
Perintah reman sehingga 9 Februari dan 10 Februari itu dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni terhadap suspek yang berusia 42 dan 41 tahun itu.
Suspek tiba di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh di sini kira-kira pukul 8.57 pagi dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berwarna jingga.
Terdahulu, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 2.40 dan 2.45 petang semalam selepas hadir ke pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.
Suspek sebagai Ketua Jabatan berkaitan sektor pelancongan dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan.
Menurut sumber, suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pemilik syarikat untuk menggunakan invois yang mengandungi butir palsu iaitu tuntutan pembekalan, sedangkan pembekalan tersebut tidak pernah dilaksanakan bagi program berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam untuk memberi keterangan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE