SHAH ALAM – Proses perobohan Stadium Shah Alam dijangka mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun hadapan
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia dimulakan dengan pemasangan dinding adang diikuti proses merungkai struktur sedia ada.
Katanya, beliau telah menyaksikan perjanjian persefahaman antara Menteri Besar Selangor (Pemerdananan) – MBI Selangor dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) petang ini, sebagai langkah kritikal dalam pembangunan Stadium Shah Alam.
“Ini sekaligus menandakan permulaan kerja-kerja fizikal setelah melalui proses perancangan dan prosedur rapi.
“Proses perobohan akan dimulakan dengan pemasangan dinding adang diikuti proses merungkai struktur sedia ada yang dijangka mengambil tempoh sehingga pertengahan tahun hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, beliau telah menekankan kepada pihak terlibat bahawa
Pembangunan Stadium Shah Alam harus menepati segala piawaian yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Selain itu, kata Amirudin, menjadi model yang menggunapakai kaedah terbaik dalam pembangunan infrastruktur terutamanya dalam skala sebegini.
“Segala langkah mitigasi untuk menangani impak pembangunan akan dimaklumkan oleh pihak pemaju kepda komuniti tempatan agar proses ini berjalan sebaiknya,” tegasnya
Kosmo! sebelum ini melaporkan kerja-kerja merobohkan Stadium Shah Alam akan dilakukan secara manual dan bukannya menggunakan peledak bom.
Keputusan tersebut diambil kerana tidak mahu menganggu ketenteraman penduduk yang tinggal di Seksyen 13, di sini.
Stadium Shah Alam yang dirasmikan pada 16 Julai 1994 lalu telah menerima impak kerosakan seperti pada bilik persalinan, bekalan elektrik, tempat duduk susulan tiga kejadian banjir pada 2006, 2015 dan 2021. -KOSMO!ONLINE.