PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) kini menjadi pasukan No. 1 di Asia Tenggara selain kedudukan carta di peringkat global turut melonjak ke tangga ke-319 berdasarkan laman rasmi yang dikeluarkan oleh Opta Analyst pada 2 Februari lepas.
Portal tersebut melakukan analisa berdasarkan prestasi semasa pasukan dengan hampir 13,500 kelab di seluruh dunia berada dalam senarai ranking tersebut.
Skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan menjuarai trofi ‘double quadruple’ Liga Malaysia tahun lalu berjaya meraih 75.8 mata dan naik 128 anak tangga berbanding kedudukan ke-447 pada Julai lepas.
Malah, berdasarkan senarai ranking, tiada lagi kelab Liga Malaysia (Liga M) yang mampu berada dalam kelompok 500 kelab terbaik dunia dan yang paling hampir berada di kedudukan ke-1,499 adalah Selangor FC.
Lebih menarik, JDT memintas status Buriram United selaku kelab terbaik Asia Tenggara ketika ini selepas kedudukan kelab gergasi Thailand itu menjunam ke kedudukan 706 dunia.
Berdasarkan ranking Asia pula, JDT berada di kedudukan ke-16 terbaik dengan kelab berpengaruh Arab Saudi, Al-Hilal menduduki pertama disusuli Al Nassr di kedudukan kedua dengan Kawasaki Frontal melengkapkan carta tiga teratas.
Pasukan JDT yang dikendalikan oleh Hector Bidoglio kini dalam fasa memantapkan pasukan dengan menandatangani beberapa pemain import baharu seperti Jalil Elias, Nicolao Cardoso dan Murilo Henrique sebelum mengharungi musim baharu, Mei depan.