fbpx

Hafidz cuti sakit, bicara kes pukul Shuhada ditangguh ke Julai depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shuhada ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini. Foto M.Firdaus M.Johari/KOSMO!

HULU SELANGOR  – Perbicaraan kes pukul pelakon Hafidz Roshdi terhadap bekas isterinya Shuhada Mat Shukri yang sepatutnya berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini ditangguhkan ke Julai depan.

Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret menetapkan tarikh baharu perbicaraan itu selepas peguam Meor Hafiz Salehan yang mewakilli Hafidz hari ini memaklumkan anak guamnya mengalami masalah kesihatan dan mendapat cuti sakit.

Semasa prosiding, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan turut mengesahkan tertuduh tidak dapat hadir kerana sakit.

Selepas mendengar makluman kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Julai ini bagi tarikh baharu perbicaraan itu.

Pada 13 Mac tahun lalu, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri isterinya (ketika kejadian) sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya, di sini.

Mengikut pertuduhan Hafidz didakwa menumbuk isterinya Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, (ketika kejadian) sebanyak tiga kali sehingga mangsa mengalami luka, lebam dan bengkak di pipi kiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pukul 3.22 pagi pada 2 Mac tahun lalu (2023).

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz kemudian dibenarkan diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI