MANCHESTER – Selepas mengharungi separuh musim tanpa skuad terkuat, Manchester United akhirnya berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan skuad terbaik ketika menundukkan West Ham United 3-0 di Old Trafford kelmarin.
Pengendali United, Erik Ten Hag yang berdepan kritikan hampir setiap minggu membuktikan bahawa menerusi kesebelasan terbaik yang diinginkan, beliau mampu untuk memberikan keputusan terbaik buat pasukan.
Pada aksi kelmarin, dua pemain muda United, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho berjaya membantu pasukan itu meraih tiga mata penuh menerusi aksi yang cukup bertenaga.
“Kami berjaya mendapatkan keseimbangan di bahagian serangan dan saya fikir ia akan menjadi ancaman kepada mana-mana lawan kami selepas ini. Anda dapat lihat para pemain sangat menikmati perlawanan kali ini, mereka sentiasa menyukarkan pasukan lawan.
“Saya gembira melihat tiga pemain muda kami (Garnacho, Hojlund dan Kobbie Mainoo) meraikan jaringan tersebut. Ia bukanlah mengenai satu pemain, tetapi kegembiraan itu adalah melibatkan satu pasukan. Kami bertahan dengan 11 pemain dan menyerang juga dengan 11 pemain,” katanya.
Bagaimanapun, kegembiraan United sedikit terencat apabila perlawanan itu menyaksikan pemain pertahanannya, Lisandro Martinez kembali berdepan masalah kecederaan ekoran insiden bersama pemain pertahanan West Ham, Vladimir Coufal.
“Saya tidak boleh berikan maklumat sejauh mana kecederaan itu, tetapi ia bukan suatu yang baik buat kami. Saya perlu menunggu ujian lanjut yang dilakukan untuk mengetahui tahap kecederaan,” katanya. – AGENSI