PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Operasi Penguatkuasaan Imigresen yang dijalankan di Kondominium Tamara Residence di sini, malam tadi.
JIM dalam kenyataan berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 12 tengah malam bersama 141 anggota susulan aduan awam dan risikan mengenai PATI yang disyaki tinggal di kawasan kondominium tersebut.
“Pada serbuan itu, JIM memeriksa 127 individu dan kesemua yang ditahan adalah warganegara India, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Filipina berusia antara 25 hingga 45 tahun terdiri daripada 23 orang lelaki dan dua perempuan,” katanya hari ini.
Jelas kenyataan itu, semasa serbuan dan pemeriksaan pihaknya terdapat warga asing mengambil masa yang lama untuk membuka pintu semasa pemeriksaan dilakukan.
“Warga asing menyewa seramai lebih kurang lima ke 10 orang satu rumah yang dijadikan sebagai asrama.
“Ini juga menimbulkan rasa tidak selamat dan tidak selesa pada penduduk lain terutamanya pemilik rumah yang menetap dikawasan ini,” ujarnya.
Tambahnya, warga asing itu dipercayai bekerja di sekitar kondominium kerana terdapat beberapa premis seperti deretan kedai berhampiran kawasan tersebut.
JIM berkata, mereka yang ditahan antaranya melakukan kesalahan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua mereka, ditempatkan di Ibu Pejabat JIM, Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Turut hadir pada operasi berkenaan, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha dan Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Mohd. Jasmi Mohd. Juwahir. – KOSMO! ONLINE