PETALING JAYA – Tenaga Nasional Berhad (TNB) sedang menjalankan kajian bersama dengan syarikat Jepun, IHI Corporation (IHI) untuk merintis projek pembakaran bersama berskala kecil di dua stesen janakuasanya iaitu Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (SJSAS) di Manjung Perak dan Stesen Janakuasa Tuanku Mukhriz (SJTM), Port Dickson, Negeri Sembilan.
IHI mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam menukar pembakaran bahan api konvensional kepada neutral karbon termasuk biomas dan ammonia beberapa loji janakuasa pelanggannya di Jepun, Malaysia dan Indonesia.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, projek ini dijalankan oleh anak syarikat milik penuhnya, TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) dan TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) yang berpengalaman dalam perolehan bahan api untuk stesen-stesen janakuasa di Malaysia.
“Projek pembakaran bersama ini menandakan kemajuan dalam komitmen kami terhadap kelestarian dengan peralihan daripada ujian makmal kepada pelaksanaan kajian di stesen janakuasa.
“Selepas berjaya dengan ujian pembakaran satu peratus biomas, TNB melangkah ke peringkat seterusnya dengan memperkenalkan pembakaran bersama melibatkan satu peratus ammonia dan dua peratus biomas.
“Pembakaran bersama satu peratus ammonia dan dua peratus biomas ini dijangka mampu menampung pelepasan karbon setara dengan 71,000 kereta penumpang setahun, memperlihatkan impak positif terhadap alam sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.
Baharin menjelaskan, percubaan pembakaran bersama satu peratus biomas (pellet EFB) berjaya dilaksanakan di SJTM pada 10 hingga 14 September 2023, demonstrasi itu disaksikan oleh wakil pihak kawal selia serta rakan kongsi, Mitsui dan Chugoku.
Keputusannya berada dalam had pelepasan yang digariskan.
Projek pembakaran bersama ini telah dikenal pasti sebagai salah satu inisiatif NETR di bawah teraju TNB.
Kumpulan akan bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan untuk meningkatkan kecekapan tenaga dan mendorong amalan lestari melalui semua inisiatif dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) termasuk penubuhan Zon Tenaga Boleh Baharu (RE) di lima lokasi, masing-masing dengan kapasiti 100 MW dan pembangunan solar terapung di empangan TNB dengan kapasiti keseluruhan 2,500 MW. -KOSMO! ONLINE