LOS ANGELES – BELUM sempat panas trofi Album Terbaik Anugerah Grammy dalam genggaman, Taylor Swift dihujani kritikan apabila didakwa tidak mengendahkan penyanyi Celine Dion selaku penyampai trofi.
Penerima trofi kategori utama pengiktirafan berprestij buat kali keempat itu dikatakan hanya teruja dengan kemenangan Midnights.
Ternyata sikap penyanyi dan komposer terbabit mencetuskan kemarahan peminat yang mengikuti siaran langsung acara itu yang dipancarkan dari Arena Crypto.com, Los Angeles.
Rata-rata menyifatkan Swift, 34, hanya mementingkan diri sendiri sedangkan Dion tetap memenuhi undangan biarpun menderita Stiff Person Syndrome (SPS).
Mengenakan jaket labuh rona jingga, kemunculan Dion, 55, yang merupakan pemenang anugerah sama sebanyak lima kali di atas pentas dengan diiringi lagu The Power of Love meraih ‘standing ovation’.
Tidak menunggu lama, Swift mengubati kekecewaan peminat dengan berkongsi gambarnya berpelukan dengan Dion di belakang pentas sebelum acara bermula.
Sementara itu, penyanyi My Heart Will Go On yang tampak cergas itu menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang tidak putus memberi sokongan terhadapnya.
“Terima kasih semua. Saya gembira dapat kembali berada di sini. Saya katakan ini dengan sepenuh hati,” tuturnya ringkas.
Selain Taylor yang turut membawa pulang trofi Vokal Pop Terbaik dalam Album, Anugerah Grammy Ke-66 turut menyaksikan Miley Cyrus menggungguli ketegori Rakaman Terbaik menerusi Flower, Billie Eilish (Lagu Terbaik – What Was I Made For?) dan Victoria Monet (Artis Baharu Terbaik). – KOSMO! ONLINE