fbpx

SPRM tahan dua ketua jabatan persekutuan di Melaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Dua ketua jabatan persekutuan di Melaka masing-masing seorang lelaki dan wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri selepas disyaki membuat tuntutan palsu berjumlah RM24,900 pada tahun lalu.

Menurut sumber, turut ditahan bersama adalah seorang lelaki yang juga merupakan pengarah sebuah syarikat selepas kesemua suspek berusia sekitar 40-an hadir memberi keterangan kira-kira pukul 2.30 petang, tadi.

Katanya, seorang suspek lelaki telah bertindak sebagai perancang utama dengan berpakat bersama pemilik syarikat untuk membuat tuntutan palsu berkaitan program anjuran jabatan dan perpindahan menggunakan invois mengandungi butir palsu iaitu tuntutan pembekalan.

“Pembekalan dinyatakan bagaimanapun tidak pernah dilaksanakan bagi program yang dianjurkan pada tahun lepas.

“Seorang suspek turut membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan berjumlah lebih kurang RM6,000 kepada jabatannya,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka, Mohd. Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil beberapa penjawat awam dikedua-dua jabatan untuk memberi keterangan.

“Perkara ini merupakan satu kebimbangan kerana Ketua Jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka dari sebarang perlakuan rasuah dan salah guna kuasa dan bukannya menjadi ‘duri dalam daging’ di jabatan masing-masing.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya.

Tambahnya, suspek akan dibawa ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh esok bagi mendapatkan kebenaran permohonan reman. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI