fbpx

Program tanam padi SMART SBB ala Sekinchan diperluas ke Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD (lima dari kiri) melihat dron yang digunakan untuk membaja ketika melawat tanaman padi di Sawah Ring, Tangkak, Johor hari ini.

TANGKAK – Kerajaan akan memperluaskan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) ala Sekinchan ke kawasan penanaman padi di negeri ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kementerian dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti kawasan sekitar 50 hektar bagi program SMART SBB Ala Sekinchan di Johor secara berperingkat.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negara (KPKM) menyalurkan sebanyak RM3.45 juta, bagi memperkasakan projek penanaman padi di Sawah Ring, Tangkak.

“Ia bagi penyelengaraan mekanikal dan elektrikal, serta penambahbaikan jalan ladang dan bagi meneruskan kerja-kerja pembinaan sivil kawasan berkenaan.

“Peruntukan ini dijangka akan memberi impak besar kepada penghasilan padi yang lebih berkualiti dan bermutu tinggi serta memberi manfaat,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan di Sawah Ring di sini hari ini.

Menurut Mohamad, SMART SBB ala Sekinchan merupakan amalan pertanian berhasil tinggi itu akan meningkatkan hasil pengeluaran daripada tujuh tan metrik per hektar kepada 10 tan metrik per hektar.

“Tanam ala Sekinchan ini mestilah tanaman yang mengikuti masa yang betul, baja yang sesuai dan pengairan yang sesuai.

“Kalau tidak ada pengairan yang cukup maka dia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan dari segi penjagaan mestilah pesawah padi ini tidak boleh kerja sambilan. Dia kena jadi pesawah sebagai kerja tetap seperti profesional,” ujarnya.

Mengikut rekod, Johor kini memiliki 10 sawah padi seluas 2,254 hektar merangkumi di Tangkak (842.97 hektar), Muar (364.22 hektar), Mersing (549.38 hektar), Batu Pahat (141.70 hektar) dan Kluang (356.12 hektar) membabitkan 859 pesawah.

Selain itu, hasil padi Johor mencatatkan peningkatan 30.1 peratus pada musim menuai utama bagi tempoh 2021 hingga 2022 berbanding tempoh pengeluaran 2020 hingga 2021.

Peningkatan hasil padi adalah daripada 4,746 tan metrik kepada 6,225 tan metrik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI