MANJUNG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya baki tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor masih berada dalam kawasan radius pencarian sekitar Tapah dan Bidor.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, ini memandangkan semua tahanan melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang sekali gus membayangkan kesukaran mereka untuk pergi ke kawasan lebih jauh.
Oleh itu katanya, radius pencarian masih lagi tertumpu di Bidor dan Tapah, terutama kawasan terpencil, kampung-kampung, ladang kelapa sawit serta hutan berhampiran.
“Mengikut maklumat pencarian dan kita telah membuat soal siasat terhadap rakan-rakan mereka yang telah ditangkap, mereka (baki tahanan lolos) masih lagi berada di kawasan Tapah.
“Mereka ini melarikan diri dalam keadaan sehelai sepinggang, tidak membawa apa-apa barang keperluan, barang asas, wang tiada, telefon tiada dan hanya mengharapkan bantuan orang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024 peringkat PDRM Kontinjen Perak di Plaza Tol Lekir, Lebuh Raya Persisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.
Pada Khamis lalu, seramai 131 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dari blok lelaki depot itu yang merangkumi 115 etnik Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang Bangladesh.
Setakat tengah hari ini, 54 daripada mereka berjaya ditangkap, dua telah meninggal dunia akibat kemalangan semasa melarikan diri serta 75 lagi yang masih diburu.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusri menasihatkan orang ramai agar memberikan kerjasama sekiranya terlihat atau ada maklumat tentang tahanan yang melarikan diri, supaya segera menghubungi pihak polis.
Beliau mewakili pasukan keselamatan yang terlibat dalam operasi pencarian tersebut, mengucapkan terima kasih kepada orang awam di kawasan kampung sekitar Bidor dan Tapah kerana membantu pihak berkuasa menjejaki serta menangkap semula pelarian yang terlepas. – KOSMO! ONLINE