SHAH ALAM – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Kementerian Komunikasi bagi membantu pekerja sambilan kreatif dan media massa mencarum dalam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Kee Cheong berkata, beliau difahamkan seramai 30,000 pekerja sambilan di dalam dua industri tersebut.
Katanya, pertemuan telah dilakukan sebelum ini bersama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang turut bersependapat kepentingan caruman tersebut.
“Sebab kita tahu terutamanya untuk pekerja industri media dan kreatif ini, waktu kerja mereka tidak tentu dan mungkin ada insiden yang mendedahkan pekerja ini kepada bahaya di tempat pekerjaan.
“Jadi kita faham ada keperluan mendesak untuk memberikan perlindungan kepada kumpulan ini. Justeru, saya akan bertemunya dalam masa terdekat ini untuk membincangkan kaedah-kaedah untuk memperluaskan liputan perlindungan Perkeso kepada pekerja sambilan sektor media dan industri kreatif,” katanya.
Terdahulu, beliau melawat serta memberikan sumbangan kepada wartawan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Marlia Mohamed di Seksyen 9 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai sumbangan kepada Marlia, Steven Sim menjelaskan wartawan tersebut mendapat sumbangan melalui program tanggungjawab sosial (CSR) KSM dengan Perkeso. – KOSMO! ONLINE