fbpx

Klang kena jadi bandar dibanggakan rakyat Selangor – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ketika bertitah pada majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang, hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI / KOSMO!

KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Klang menjadi sebuah bandar raya yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat negeri Selangor.

Titah baginda, ini termasuk dalam mengatasi masalah banjir ekoran daerah ini terletak di sepanjang laluan Sungai Klang daripada hulu ke hilir sebelum air sungai ini menuju ke laut.

Sultan Sharafuddin menegaskan, pendapat pakar-pakar perlu diperolehi bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini dapat diatasi dengan berkesan.

“Sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti pula dengan hujan yang lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daripada daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk yang terlibat.

“Oleh yang demikian, beta mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius tentang masalah ini dengan memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.

“Pelan rancangan yang rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang,” titahnya pada majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang, di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut berharap Klang membangun ke tahap yang lebih cemerlang dan dikenali dengan imej bandaraya bersih di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

Justeru, baginda menekankan antara yang perlu diberikan perhatian ialah tahap kebersihan kawasan-kawasan perumahan, sungai dan tebing-tebing sungai serta kemudahan prasarana yang baik.

“Tumpuan juga adalah kepada penyusunan semula sektor perumahan, kawasan perniagaan dan juga usaha-usaha mengatasi masalah populasi burung gagak dan pengawalannya.

“Beta juga berharap pihak-pihak berwajib yang diamanahkan membangunkan Klang akan terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang, sekaligus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini,” titahnya.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin berpandangan dan menyarankan agar Ahli-Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang ini perlulah dianggotai oleh bukan sahaja ahli-ahli politik, tetapi juga golongan profesional yang pakar dalam bidang-bidang yang diperlukan di dalam pembangunan sesebuah bandar.

“Jika boleh Beta cadangkan jumlah golongan profesional perlulah sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan Ahli Majlis di samping menggambarkan komposisi atau populasi kaum di Bandaraya Klang .

“Beta suka mengingatkan agar sentiasa memberikan perkhidmatan dengan penuh dedikasi dan berintegriti selain turun padang mendekatkan diri dan melihat sendiri masalah rakyat,” titahnya.

Baginda turut menegaskan supaya perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang segera dilaksanakan
demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

“Apalah guna kita berbangga dengan pencapaian status bandaraya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI