JASIN – Penetapan kuota 30 peratus wanita diperingkat pembuat dasar tidak lagi wajar diguna pakai sebagai sasaran dan perlu dihapuskan selari dengan kemampuan golongan itu yang kini semakin kompeten.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ketika ini sudah ramai wanita yang mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tinggi dalam sesebuah organisasi.
“Sebab itulah kita tidak patut ada sebarang ‘siling’ 30 peratus, kalau dalam sektor awam kita (penglibatan wanita) telah pun mencapai 42 peratus.
“Jadi kita tak patut mencipta siling ini lagi, nak letak 50 peratus atau lebih kerana golongan wanita perlu bergerak secara bebas dan tidak perlu disekat,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja pada Program Pembangunan Wanita Tun Fatimah Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa (SHWA) 2024 di Laman Wanita, di sini, hari ini.
Sebelum ini media melaporkan, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz, mengeluarkan pandangan bahawa wanita tidak sepatutnya diibaratkan sebagai ‘kekabu untuk memenuhkan ruang dijadikan bantal’ dengan penetapan dasar kuota 30 peratus.
Katanya, dasar wanita sebagai pembuat keputusan atau ahli lembaga pengarah syarikat dilihat sebagai tindakan merugikan memandangkan ramai wanita layak mengisi jawatan penting, tetapi peratusan had itu menghalang potensi golongan terbabit memegang jawatan tinggi.
Rafidah berkata, meskipun 30 peratus itu hanya sebagai asas dan jumlahnya boleh ditambah, masih ada syarikat menggunakan alasan itu untuk tidak melantik wanita berkelayakan.
Mengulas lanjut Nancy memberitahu, beliau bersetuju dengan pandangan dilontarkan Rafidah yang dilihat lebih signifikan dengan situasi semasa.
“Mungkin maksudnya, wanita jangan berhenti setakat 30 peratus sahaja kerana ramai yang layak berdasarkan akademik dan pengalaman-pengalamannya.
“Jadi tak perlu lah sampai bergantung pada kuota itu, kalau zaman ini saya bersetuju dengan Tan Seri Rafidah kerana beliau sendiri telah melatih ramai wanita dan ramai yang boleh kita bawa ke atas (peringkat tinggi),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE