fbpx

Motosikal Modenas Pulsar jentera baharu atasi kes lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hassan 'As'ari (dua dari kanan) memeriksa dua motosikal Modenas Pulsar NS200 yang merupakan aset baharu JBPM Terengganu di Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu dilengkapi aset baharu berupa dua motosikal jenis Modenas Pulsar NS200 bagi melakukan tugas pemantauan dan operasi penyelamatan di lokasi berisiko lemas di negeri ini.

Pengarah Bomba Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, dua jentera baharu tersebut bakal digunakan bagi meningkatkan kecekapan dan mengurangkan tempoh respon setiap operasi melibatkan kes lemas di negeri ini.

Beliau berkata, motosikal Modenas Pulsar NS200 akan digunakan dalam operasi melibatkan lokasi nahas yang sukar diakses oleh jentera berat JPBM lain.

“Terengganu mempunyai kes lemas antara tertinggi di negara ini, malah kematian akibat lemas di negeri ini jauh lebih tinggi daripada kehilangan nyawa disebabkan kebakaran.

“Sepanjang tahun lalu, seramai 29 nyawa telah terkorban akibat 23 kes lemas yang telah direkodkan di seluruh negeri ini,” katanya pada Perhimpunan Tahunan JBPM Terengganu di sini hari ini.

Hassan ‘As’ari berkata, 29 kematian akibat lemas pada tahun lalu merupakan peningkatan berbanding 22 nyawa yang terkorban akibat musibah sama pada tahun 2022.

Sehubungan itu, beliau berkata, pemantauan berkala di lokasi berisiko berlakunya kes lemas akan dipertingkatkan tahun ini dengan penggunaan motosikal Modenas Pulsar NS200.

“Tumpuan penggunaan jentera motosikal itu akan diberikan terhadap pesisir pantai Kuala Nerus dan Dungun yang kerap berlaku kes lemas sebelum ini.

“Rondaan di lokasi berisiko tersebut akan terus dilakukan selepas ini memandangkan cuti persekolahan dan sambutan Tahun Baru Cina berlangsung serentak hujung minggu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI