DUBAI, EMIRIYAH ARAB BERSATU (UAE) – Seorang bilionair di Dubai sanggup ‘terbang’ ke Amerika Syarikat semata-mata bagi memenuhi keinginan isterinya yang mengidam menikmati daging wagyu di kota raya Las Vegas.
Laman berita Detik melaporkan, Linda Andrade yang sarat hamil sembilan bulan teringin untuk menjamah daging wagyu A5 di Las Vegas.
Ini kerana kata Linda, bandar raya itu mempunyai daging wagyu terbaik di dunia.
Justeru, dia dan suaminya melakukan perjalan 12,000 kilometer untuk menikmati hidangan tersebut.
Selepas selesai makan daging lembu amat mahal itu, Linda meminta untuk menikmati kaviar pula.
Klip video mengenainya berakhir dengan suami wanita berkenaan memberikan hadiah kepada isterinya.
Hantaran itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen dengan ada netizen menyifatkan Linda sebagai ‘pisau cukur’.
Namun, ramai netizen lain menganggap video tersebut hanya kandungan untuk tujuan hiburan. – AGENSI