fbpx

‘Cikgu dah WhatsApp beritahu bayaran PIBG tertunggak RM400’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video yang dimuat naik memaparkan Khairul menjual putu mayam di atas motosikalnya di Seksyen 3, Shah Alam.

PETALING JAYA – Seorang bapa tidak dapat menahan rasa sebak apabila kuih putu mayamnya laris terjual kerana sudah berniat untuk melunaskan yuran Persatuan Ibu dan Guru (PIBG) sekolah anaknya.

Menerusi video yang dimuat naik di akaun TikTok @fs79076, bapa tersebut dikenali sebagai Khairul, 44, sudah lama berhenti kerja kerana menghidap sakit gout yang kronik.

Setiap hari Khairul akan membawa sebanyak 30 bekas putu mayam untuk dijual pada harga RM4 dengan hanya menggunakan motosikalnya di Seksyen 3, Shah Alam.

Di dalam video tersebut, Khairul kemudiannya terharu dan sebak apabila ada individu yang membantu dirinya menghabiskan jualan pada hari tersebut.

“Saya sedih sebab hari ini anak saya di sekolah menengah minta duit. Cikgu dah ingatkan duit PIBG sekolah RM400 lebih tak bayar.

“Cikgu dah bagi WhatsApp bayaran tertunggak. Sebab saya memang nak bayar anak saya, niat saya hari ini,” katanya sebak.

Ujar Khairul lagi, dia sepatutnya mendapatkan pembedahan untuk sakit goutnya namun terpaksa menangguh hasrat demi mencari rezeki buat keluarga.

“Saya kerja macam ni, berniaga cari rezeki. Kalau saya masuk hospital siapa yang nak bayar rumah, tanggung keluarga semua. Jadi saya tangguhlah dulu rawatan saya tu,” katanya.

Tinjauan Kosmo! di ruangan komen ramai yang bersimpati dengan nasib bapa itu kerana dia bertungkus-lumus berniaga demi melunaskan bayaran PIBG sekolah anaknya itu.

Ramai yang terkejut dan berpandangan agar pihak sekolah mempertimbangkan semula keluarga yang tidak mampu untuk menjelaskan bayaran tertunggak.

“PIBG perlu tengok sesetengah keluarga yang tak mampu, kurangkan beban kalau boleh. Saya yang tengok pun hiba,” komen Anyi.

“Semoga diluaskan rezeki pakcik ni dan keluarga. Anak- anak besar jadi orang berjaya sentiasa dalam rahmat Allah, tak lupa untuk menderma,” komen Sara.

“Bukan ke keluarga susah dikecualikan bayaran PIBG? Ya Allah curahkanlah rezeki kepada Pak Cik ni Ya Allah, amin,” komen Nora. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI