KLANG – Kerajaan negeri bercadang menjadikan Lembah Klang Raya sebagai status Zon Ekonomi Khas supaya menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan Asia.
Lembah Klang Raya meliputi Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Subang Jaya Shah Alam dan Klang.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pemberian status tersebut.
Katanya, ini seterusnya memastikan potensi keempat-empat bandar raya tersebut dapat direalisasikan.
“Saya tidak lihat mengapa Lembah Klang Raya tidak mampu menandingi dan menjadi alternatif kepada Kota Singapura ataupun Greater Seoul dan Greater Tokyo.
“Ini akan memberi lonjakan (ekonomi) kepada Selangor seterusnya menjadi gagasan ekonomi utama Asia Tenggara dan antara lima Lembah Utama di Asia selepas direalisasikan sepenuhnya,” katanya ketika berucap pada majlis perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang hari ini.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan majlis perisytiharan tersebut.
Amirudin menjelaskan, Lembah Klang Raya menghimpunkan 3.4 juta penduduk iaitu hampir 50 peratus daripada keseluruhan penduduk di negeri Selangor selain lebih 10 peratus daripada jumlah penduduk seluruh negara.
“Meskipun bandar-bandar ini matang, usaha rejuvenasi dan regenerasi dapat menarik pelaburan dalam industri digital serta teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan dan pusat penempatan pusat-pusat data.
“Selain itu, model bagi sistem pengurusan perkhidmatan kerajaan yang mengalihkan aspek-aspek pertindihan serta berteraskan pengurusan yang mampan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Amirudin percaya Majlis Bandaraya Diraja Klang mampu menjadi menjadi antara bandar pertama di Selangor dan Malaysia untuk mencapai status Bandar Rendah Karbon.
“Ini melalui pembinaan sebuah loji jana kuasa dengan kapasiti 1,200 megawatt (MW) dengan tahap kecekapan lebih 60 peratus berbanding kaedah konvensional bakal siap di Pulau Indah menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Worldwide Holdings.
“Maknanya, Klang mempunyai segala asas yang diperlukan untuk mana-mana bandar untuk terus berkembang secara pesat dan mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE