SEBERANG PERAI – Sebuah bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Jalan Merbau Kudong di sini dilaporkan terbakar, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.06 pagi itu, tiada murid mahupun pihak sekolah dilaporkan terlibat.
Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohammad Fikhri Abdul Aziz berkata, ketika kejadian kesemua murid-murid tiada di dalam kelas kerana mengikut satu program yang diadakan di dewan sekolah.
“Kejadian ini disedari oleh tukang kebun sekolah yang ternampak kepulan asap dari bilik darjah tersebut, dan kesemua murid ketika itu berada di dewan sekolah.
”Apabila pasukan bomba tiba di tempat kejadian didapati kebakaran berlaku bahagian dalam bilik darjah (Kelas A), di mana ia melibatkan peralatan meja dan kerusi,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kebakaran turut melibatkan struktur bangunan bilik darjah.
”Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran sebanyak 10 peratus dan kerja-kerja pemadaman sedang dijalankan
”Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba,” katanya. – KOSMO! ONLINE