fbpx

Banjir air merah ibarat bah kuning Manek Urai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAWASAN rumah penduduk di Kampung Pari, Sukhirin, Narathiwat yang rosak akibat banjir pada Disember lalu.

NARATHIWAT – Bah air merah yang melanda daerah Sukhirin, di sini hujung tahun lalu sehingga meragut nyawa dan merosakkan harta benda masih menghantui penduduk di kawasan tersebut.

Malah, berdasarkan pengalaman wartawan, kerosakan akibat bencana di selatan Thailand itu tidak ubah seperti situasi di Manek Urai, Kuala Krai ketika membuat liputan Bah Kuning 2014 yang melanda Kelantan.

Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata penduduk masih lagi bercakap mengenai bah air merah pada Disember lalu itu yang disifatkan sebagai tragedi paling buruk sepanjang hidup mereka.

Berkongsi semula detik ngeri itu, Yarodah Setapa, 50, dari Kampung Kelubi berkata, dia tidak pernah berdepan bencana banjir buruk yang menyebabkan banyak rumah rosak dan diha­nyutkan arus deras.

“Hujan berterusan selama tiga hari menyebabkan lebih 30 buah rumah di Kampung Kelubi tenggelam, selain kira-kira 20 buah rumah di Kampung Pari telah rosak dan hanyut.

“Paras air Sungai Saiburi yang naik mendadak menyebabkan kebanyakan barangan termasuk kereta dan perabot tidak sempat dipindahkan ke tempat selamat.

“Ini merupakan banjir paling buruk kerana banyak bukit dan tanah runtuh yang membawa sisa lumpur ke dalam rumah penduduk,” katanya.

YARODAH menunjukkan kesan banjir yang melanda rumahnya di Kampung Kelubi, Sukhirin, Narathiwat. – AIMUNI TUAN LAH

Ujarnya, dia bersama suami terpaksa berpindah dan tinggal di masjid berhampiran selepas rumahnya ditenggelami banjir.

Katanya, banjir kali ini pa­ling teruk apabila dia terpaksa mengambil masa lebih 10 hari untuk membersihkan peralatan rumah yang ditenggelami bah.

Seorang lagi penduduk, Paiso Deris, 70, berkata, dia tidak pernah melihat banjir yang meng­hanyutkan rumah hingga penduduk tinggal sehelai sepinggang.

“Ramai mangsa banjir yang bekerja sebagai buruh kampung dan pekebun terpaksa membina atau membaiki semula rumah mereka yang rosak.

“Ketika ini mangsa banjir yang kehilangan rumah terpaksa me­numpang di rumah saudara dan menyewa rumah lain.

“Kami bersyukur dan berte­rima kasih apabila ramai orang Malaysia yang bersimpati datang hulur bantuan seperti makanan, pakaian termasuk barangan ke­perluan harian untuk penduduk teruskan hidup,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI