fbpx

‘Asalnya nak bina masjid, tetapi jadi tapak pelupusan haram’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kor Ming (dua dari kiri) meninjau kawasan tapak pelupusan sampah dalam lawatan ke Operasi Pembasmian dan Penutupan Tapak Pelupusan Sampah Haram ke-2039 di Jalan Davis, Kuala Lumpur, hari ini. -Foto oleh MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tapak yang sepatutnya dibina sebuah masjid indah telah tercemar dengan pemandangan 1,000 tan metrik sampah yang dilupuskan secara haram sejak enam bulan lalu di Jalan Davis, di sini.

Tapak berukuran 18,000 meter persegi itu akhirnya dikenal pasti oleh pihak penguat kuasa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebelum dibersihkan dan ditutup sepenuhnya, hari ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, tanah milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Perdana Menteri itu sepatutnya sedang dalam perancangan untuk dibina sebuah masjid Cina Muslim.

Ujarnya, kewujudan tapak itu menunjukkan betapa serius dan pentingnya kesedaran sivik serta tanggungjawab semua pihak bagi menangani isu ini.

“Ini bukanlah kes pertama malah merupakan salah satu daripada 2,093 lokasi tapak pelupusan haram yang telah dibersihkan serta ditutup sepanjang tahun lepas di tujuh buah negeri.

“Kos pembersihan bagi keseluruhan tapak pelupusan haram ini berjumlah RM1.6 juta dengan anggaran jumlah sisa yang dibersihkan adalah sebanyak 6,410 tan.

“Tapak haram ini turut didalangi oleh kartel atau sindiket. Pihak KPKT serius dan komited akan mengadakan penguatkuasaan undang-undang secara besar-besaran tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Pembersihan dan Penutupan Tapak Sampah Haram di Jalan Davis, di sini hari ini.

Operasi penutupan ini melibatkan seramai 44 anggota dan petugas daripada SWCorp, Alam Flora Sdn. Bhd. dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Tambah Kor Ming, sepanjang tahun lalu juga sebanyak 15 kes pendakwaan mahkamah telah berjaya disabitkan kesalahan dengan jumlah denda sebanyak RM168,000.

Katanya, KPKT tidak akan teragak-agak untuk mempertimbangkan cadangan hukuman penjara kepada pihak-pihak yang melakukan kesalahan berulang.

“KPKT melalui SWCorp telah mengenal pasti ‘hot spot’ tapak pelupusan haram ini. Pihak kami akan memasang televisyen litar tertutup bagi memantau siapa yang sengaja membuang sampah.

“Sempena sambutan Tahun Baru Cina yang akan disambut tidak lama lagi, kerja-kerja kutipan sisa pepejal isi rumah dan sisa pukal akan diteruskan dan dipergiatkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI