fbpx

Arca Bruce Lee setinggi 2.5 meter tarikan terbaharu Resorts World Genting

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lee (tiga dari kanan) ketika ditemui di Majlis Pelancaran Pameran Bruce Lee bagi Pembukaan Tahun Naga, di Genting Highlands hari ini.

GENTING HIGHLANDS – Resorts World Genting membuka tirai sambutan tahun naga dengan pameran eksklusif menampilkan legenda seni bela diri dunia, Bruce Lee.

Pameran yang dijalankan dengan kerjasama Thematic Legendary Kingdom dan Kelab Bruce Lee Hong Kong itu bakal berlangsung dari 5 Februari hingga 14 April bertempat di Times Square Stage, SkyAvenue.

Tarikan utama bagi pameran tersebut adalah penampilan pertama arca Bruce Lee setinggi 2.5 meter yang dibawa khas dari Hong Kong terus ke Resorts World Genting.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Lee Chin Chen berkata, pameran bertemakan Bruce Lee tersebut merupakan yang pertama seumpamanya dianjurkan di negara ini.

Tambah Lee, pameran itu juga diharapkan dapat menjadi tarikan buat negeri Pahang, khususnya di kawasan Bentong dan Genting Highlands sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina yang bakal berlangsung pada 10 dan 11 Februari ini.

“Ini merupakan kali pertama arca Bruce Lee dibawa keluar dari Hong Kong dan dipamerkan di Resorts World Genting.

“Seperti yang semua tahu, Genting Highlands merupakan ikon bagi negeri Pahang.

“Moga dengan adanya tarikan seperti ini, kita dapat menarik lebih ramai pelancong untuk berkunjung ke negara kita, secara tidak langsung meningkatkan ekonomi negara,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Pameran Bruce Lee bagi Pembukaan Tahun Naga bertempat di Resort World Genting, di sini hari ini.

Naib Presiden Kanan Taman Tema, Penyewaan dan Festival, Aaron Soo berkata, pihak Resorts World Genting sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk menjadi tuan rumah bagi arca Bruce Lee tersebut.

“Kami berharap, peminat seni bela terutamanya Bruce Lee dapat merasai sendiri semangat ‘naga’ milik lagenda seni bela diri tersebut di sini,” katanya.

Menurut Resorts World Genting, orang ramai yang berminat boleh melawat pameran tersebut dengan harga serendah RM8 dari pukul 10 pagi sehingga 10 malam.

Untuk maklumat lanjut, lawati rwgenting.com atau saluran media sosial Resorts World Genting untuk mendapatkan sebarang informasi tambahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI