fbpx

400,000 pengembara dijangka guna Tambak Johor, Linkedua sempena Tahun Baharu Cina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN pengembara dari Singapura melalui pintu masuk Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru. -Foto oleh RAJA JAAFAR ALI / KOSMO!

JOHOR BAHRU – Lebih 400,000 pengembara dijangka akan memasuki Malaysia melalui Tambak Johor di sini dan Linkedua di Gelang Patah sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina, pada 10 dan 11 Februari ini.

Sehubungan itu, Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir memberitahu, kesemua agensi terlibat mengawal Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan beroperasi penuh.

Menurut beliau, komitmen sama turut diberikan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura.

“Pada bulan Januari lalu, seramai 5.2 juta pengembara telah memasuki negara melalui BSI dan KSAB, dengan purata harian seramai kira-kira 170,000 pengembara sehari.

“Menjelang Tahun Baharu Cina ini, kita jangka jumlah itu akan meningkat sehingga lebih 200,000 pengembara masuk sehari. Kita juga jangka kesesakan akan bermula dalam tempoh sehari atau dua hari sebelum perayaan pada 10 dan 11 Februari ini.

“Pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun lalu, seramai 348,693 pengembara masuk iaitu pada 20 dan 21 Januari 2023. Namun tahun ini kita jangka lebih ramai lagi akan memasukkan dalam tempoh dua hari perayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung Inisiatif Mengatasi Kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di sini, hari ini.

Baharuddin turut memberitahu, antara inisiatif diambil pihaknya dalam memastikan kelancaran trafik ketika sambutan termasuklah dengan membuka kesemua 284 kaunter di BSI serta kesemua 169 kaunter di KSAB melibatkan laluan kereta, motosikal, bas dan lori.

“Selain itu, laluan kontra juga akan dibuka melibatkan kaunter kereta dan juga bas. Inisiatif ini akan menyaksikan pertambahan 50 peratus jumlah kaunter sedia ada bagi memastikan kelancaran trafik memasuki negara ini dalam tempoh perayaan.

“JIM Johor juga akan meneruskan pelaksanaan Quick Response Team (QRT) bagi membantu menyelesaikan sebarang isu berbangkit yang berlaku,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan pengembara untuk beretika sepanjang menggunakan laluan tersebut, dengan tidak melakukan sebarang provokasi terhadap pegawai dan anggota bertugas.

“Saya juga berharap insiden pengembara kencing di tempat tidak sepatutnya seperti yang tular tahun lalu tidak lagi berulang. Mungkin boleh ke tandas terlebih dahulu dan menyusun jadual perjalanan dengan sewajarnya.

“Pengembara juga diharapkan dapat memastikan baki kad Touch n Go mereka mencukupi bagi melancarkan lagi perjalanan,” jelasnya lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI