JOHOR BAHRU – Seramai 30 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) ditahan susulan serbuan yang dilakukan pihak polis terhadap sebuah pusat hiburan di Taman Sentosa, di sini awal pagi semalam.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, kesemua wanita yang ditahan itu berusia lingkungan 20 sehingga 43 tahun.
Katanya, serbuan yang dilakukan pada pukul 2.15 pagi itu melibatkan pegawai dan anggota D7, D4 dan D9 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Johor Bahru.
“Dalam serbuan itu, pihak polis menahan 30 pelayan perempuan warga asing terdiri daripada warganegara Thailand, Vietnam dan Laos yang disyaki bekerja tanpa permit yang sah.
“Turut ditahan tiga lelaki tempatan yang berperanan sebagai penolong pengurus, juruwang dan kapten kerana melanggar syarat operasi pusat hiburan dan menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kumar memberitahu, pemeriksaan turut dijalankan terhadap kesemua di pusat hiburan tersebut dan mendapati seramai 19 lelaki tempatan, lima wanita tempatan dan 31 wanita warga asing positif dadah jenis methamphetamine, ketamin dan benzodiazepines.
Sejak awal tahun sehingga kini, polis Johor sudah melakukan 69 serbuan di premis pusat hiburan dan seramai 314 individu ditahan melibatkan 54 lelaki warga tempatan; 14 wanita tempatan; tujuh lelaki warga asing serta 239 wanita warga asing.
Jumlah wang rampasan pula melibatkan RM10,472 manakala 64 premis pusat hiburan telah dikenakan saman kerana kesalahan tiada lesen dan langgar syarat operasi pusat hiburan. – KOSMO! ONLINE