WASHINGTON – Seorang ibu mendakwa bahawa dia dipecat pada hari pertama bekerja selepas terlewat tiba hampir satu jam ke syarikat tempatnya bekerja, lapor laman berita UNILAD semalam.
Damita JoMama dari Arkansas memuat naik kisahnya di platform TikTok pada 15 Januari lalu. Wanita tersebut menceritakan punca dia datang lewat sehingga digelar penipu oleh kakitangan syarikat ambulans itu.
Menurut JoMama, dia terlewat tiba di pejabat kerana terperangkap di jalan raya yang bersalji tebal meskipun memandu kenderaan utiliti sukan (SUV).
Sejurus tiba, dia berjumpa dengan seorang kakitangan yang berkata: “Anda lewat. Mengapa anda tidak boleh tiba lebih awal?”
JoMama kemudian dipanggil untuk menghadiri satu mesyuarat dan diberitahu bahawa pihak syarikat tidak dapat meneruskan pengambilannya untuk bekerja sebelum diiring keluar dari bangunan itu.
Wanita itu menambah, dia berasa terkejut dengan tindakan syarikat berkenaan yang tidak boleh bertolak ansur dengan cuaca salji tebal. – AGENSI