SEPANG – Pelakon dan pelawak, Aya Amiruddin tidak melihat bentuk tubuhnya yang besar selain berkulit gelap sebagai satu masalah yang menyekat peluangnya menceburi industri seni tanah air.
Kata Aya, 27, sebagai pelakon dia bersyukur apabila diterima baik penggiat seni yang mengalu-alukan kehadirannya untuk memeriahkan industri dengan keunikan yang dimiliki.
“Alhamdulillah. Saya tidak pernah dilayan buruk, malah kehadiran saya disambut baik oleh semua orang dalam industri.
“Mungkin disebabkan keunikan saya yang tidak ada kepada pelakon lain. Dengan fizikal dan kulit saya begini (gelap), berwajah kacukan Afrika-Malaysia menjadikan saya unik,” ujarnya kepada Kosmo! Online.
Pada masa sama, Aya berkata apa yang menjadi masalah adalah jika dia tidak mempunyai wang untuk membayar komitmen termasuk rumah dan kereta kerana itu lebih penting buat dirinya.
“Saya tidak ada masalah dengan tubuh badan begini. Apa yang jadi masalah jika saya tidak ada duit untuk bayar komitmen seperti kereta dan rumah.
“Selagi saya sihat, masih mampu berjalan dan boleh bekerja, itu sudah cukup membuatkan saya bersyukur,” katanya.
Aya yang ditemui di majlis pelancaran koleksi raya, Fazbulous Raya 2024 oleh selebriti dan usahawan terkenal, Nur Fazura di sini, semalam bagaimanapun mengakui terdetik hati untuk menguruskan badannya suatu hari nanti.
“Tapi tipulah kalau saya kata tidak ada impian untuk kurus. Cuma belum sampai waktunya lagi. Mana tahu, tahun ini saya akan kurus,” katanya berseloroh.
Sedar akan fizikalnya yang berbeza, selain dikenali dengan perwatakan yang lucu, Aya bagaimanapun menyimpan hasrat untuk menjiwai watak yang banyak bermain dengan emosi.
“Saya sebenarnya teringin nak bawa watak yang bermain dengan emosi sedih yang memerlukan saya menangis.
“Kepada pengarah, ambillah saya. Percayalah, saya memang pandai menangis. Cuma belum ada rezeki sebab sekarang saya fokus dengan watak komedi.
“Saya memang suka hiburkan orang. Buat orang lain ketawa merupakan kebahagiaan saya,” jelasnya yang bakal muncul dengan filem pertama, Pontianak 200KG pada Aidilfitri nanti. – KOSMO! ONLINE