fbpx

Sudah 8 tahun Aprena Manrose bersabar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
APRENA MANROSE

AKUR. Itu frasa sesuai bagi menggambarkan situasi dilalui Aprena Manrose kini yang masih belum dikurniakan zuriat setelah lapan tahun mendirikan rumah tangga bersama suaminya, Mohd. Afiq Hazman.

Siapa sahaja yang menghadapi hal sama pasti akan berasa sedih, lebih-lebih lagi proses rawatan kesuburan in-vitro (IVF) yang dijalani dua tahun lalu tidak berjaya.

Akibat sibuk memberikan fokus kepada rawatan IVF, penglibatan pemilik nama lengkap Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 31, dalam dunia lakonan agak perlahan. Banyak syarikat produksi dan stesen televisyen menyangka dia masih dalam tempoh bercuti.

Enggan berpaling, Aprena kini mahu kembali agresif melunaskan impian dalam dunia lakonan seperti dahulu. Dalam masa sama, dia mahu menghilangkan tekanan memikirkan isu zuriat.

SUdah bertahun menunggu, Aprena kini ambil pendekatan reda, namun tidak lelah berusaha untuk mendapat cahaya mata.

“Tahun ini saya mula kembali aktif dalam lakonan sebab sepanjang 2023 serta tahun sebelumnya saya sibuk dengan prosedur IVF sehingga perlu memperlahankan karier.

“Situaisi itu membuatkan orang fikir saya sudah tidak lagi mahu berlakon. Sebenarnya duduk rumah lagi stres, jadi saya perlu bekerja. Tahun ini saya rasa tahun reda, berserah sahaja tidak mahu fikir.

“Kalau ada (anak), ada. Kalau tiada, tidak mengapa.

“Bagi saya, kalau tiada (anak) di dunia, dapat di akhirat.

“Nak stres sangat pun sudah lapan tahun kami bersabar, jadi saya dan suami boleh tunggu lagi untuk beberapa tahun akan datang,” katanya membuka bicara.

BAGI mengelakkan diri memikirkan soal anak, Aprena mahu aktif berlakon setelah lebih dua tahun bercuti panjang.

Tidak patah semangat

Biarpun mahu menyibukkan diri, sepupu kepada aktres Uqasha dan Nelydia Senrose itu tetap tidak berputus asa untuk mendapatkan zuriat sebagai pelengkap mahligai perkahwinannya.

Kini, Aprena dan suami hanya menunggu masa tepat untuk kembali menjalani rawatan IVF sekali lagi, selain belum memikirkan soal mengambil anak angkat.

Dia sebenarnya bimbang terhadap tanggungjawab yang bakal dipikul.

“Nak cuba sekali lagi kalau ada rezeki, tetapi semua atas keputusan suami kerana suami yang akan gerakkan semua sebab dia ada cakap nak buat IVF kali kedua.

“Cuma, andai masih belum ada rezeki selepas mencuba, mungkin kami akan pertimbangkan untuk ambil anak angkat.

“Sebelum ini suami cakap tidak mahu ambil anak angkat. Dia bimbang sekiranya hamil anak sendiri, kami tidak boleh bahagikan kasih sayang,” ujarnya.

Perbualan tidak terhenti di situ, pelakon berusia 30 tahun itu berkongsi pula situasi dilalui sepanjang melalui prosedur rawatan IVF yang sarat emosi.

Foto: IQBAL ROSLI solekan: FEIRUZ SOHOR @feiruzsohor Penata gaya: NANA CHAH @nana.chahh Pakaian: BUTTON SCARF

“Masa buat IVF, saya teruja sangat nak dapatkan keputusan macam diinginkan, bahkan apabila balik rumah saya terbaring sahaja semata-mata ingin memastikan prosedur itu berjaya.

“Saya betul-betul menaruh harapan tinggi. Saya patuh dengan setiap pesanan tetapi ketika berjumpa pakar semula, doktor mengesahkan belum ada rezeki.

“Dengar sahaja ayat itu terus saya rasa kecewa sampaikan saya matikan telefon dan terus tidur sebaik tiba di rumah. Keesokan hari baru saya bercakap dengan suami,” kongsinya.

Emosi Aprena hanya kembali stabil apabila dia cuba lebih memahami erti reda dan tawakal, selain tidak berputus asa.

Bahkan kegembiraannya juga berganda apabila sepupunya iaitu Uqasha Senrose kini hamil anak pertama selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan aktor Kamal Adli.

Di saat memeluk kebahagiaan, pasti ada suara-suara sumbang yang tetap mengkritik sehingga melabel keluarga Senrose dan Manrose tiada zuriat.

Namun, komen negatif tersebut sedikit pun tidak menjadi duri di hati apatah lagi merobek perasaannya untuk menjerut rasa dengan mulut netizen.

KRITIKAN mengenai cara pemakaian buat Aprena terasa hati dengan netizen walaupun sebelum ini kental menerima komen negatif.

Kritik pakaian

“Sebenarnya netizen tujukan ayat ‘Keluarga Senrose tiada zuriat’ itu termasuk kepada sayalah sebab belum ada anak.

“Saya tidak terasa sangat dengan mulut orang kerana jenis kental dan tidak hairan apa orang luar cakap. Cukup dengan sokongan keluarga sahaja.

“Cuma, kebelakangan ini saya terasa bukan soal zuriat tetapi lebih kepada bab pemakaian,” ujar anak penyanyi dangdut terkenal, Iwan Syahman itu.

Sekuat-kuat wanita pasti ada lembutnya. Sama seperti bintang drama Tiada Arah Jodoh Kita itu yang sukar menerima kritikan mengenai cara pemakaiannya.

Baginya, proses untuk istiqamah sangat sukar. Dia memohon orang ramai memberikan sokongan bukan dengan komen pedas seperti serangan dalam Instagram.

“Ada masa saya pergi gimnasium pakai topi, ke kedai bawah pun sama. Disebabkan itu saya pergi kelas agama untuk jadi lebih kuat.

SEDANG belajar istiqamah, Aprena berharap penampilan imejnya tidak terlalu dijadi bahan pertikaian umum.

“Saya pula baru bertudung dalam dua ke tiga tahun jadi masih berusaha membiasakan diri dalam melalui fasa baharu.

“Nak ubah imej bukan senang, individu sekeliling pun mainkan peranan yang mana tidak boleh cakap lepas sampai orang terasa,” kata anak jati Kelantan itu.

Sebelum menutup bicara, Aprena turut berkongsi berita gembira bakal menunaikan umrah kali kedua seorang diri pada minggu hadapan bagi mencari ketenangan hati.

“Saya bakal mengerjakan umrah bersama Ustazah Asni. Sebenarnya nak pergi tahun lepas tetapi belum dijemput jadi saya pergi seorang diri tahun ini.

“Sengaja saya pergi tanpa suami kerana perlukan masa bersendirian. Lagi pun tahun lepas bukan tahun terbaik saya jadi hati ini perlukan ketenangan.

“Kita manusia biasa. Ada masa rasa berbolak-balik dalam semua perkara. Disebabkan itu saya kena cari agama, malah saya ada bajet lebih jadi kenapa tidak,” ujarnya teruja.

TIDAK putus asa. Aprena dan suaminya kini masih menunggu masa sesuai untuk menjalani rawatan IVF buat kali kedua.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI