SUNGAI PETANI – Sesi persekolahan yang berbaki kira-kira tiga hari lagi di negeri ini diteruskan seperti biasa meskipun Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di negeri ini semalam.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata bagaimanapun pihak Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus bekerjasama dengan METMalaysia untuk memantau keadaan cuaca semasa di seluruh negara.
“Sesi persekolahan akan diteruskan seperti biasa memandangkan sesi untuk penggal ini hanya tinggal dalam tiga hari sahaja lagi.
“Tapi kita akan pantau, kita akan bekerjasama dengan MetMalaysia untuk isu cuaca ini. Kita ada garis panduan berkaitan dengan cuaca yang sentiasa kita ingatkan di peringkat sekolah.
“Saya juga memohon kepada ibu bapa dan guru-guru untuk memberi lebih perhatian kepada kesihatan anak-anak mereka dalam tempoh beberapa hari ini,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) negeri Kedah di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, di sini, hari ini.
Terdahulu, MetMalaysia pada petang semalam mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga di tiga kawasan di Kedah iaitu Pokok Sena, Pendang dan Baling.-KOSMO! ONLINE