PETALING JAYA. – “Moga ada khabar yang mereka masih hidup,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berhubung kebimbangannya terhadap isteri dan anak-anak yang kini dilaporkan berlindung di Rafah, Palestin.
Ia berikutan tempat tersebut kini menjadi sasaran pengeboman kejam tentera Zionis Israel.
Menerusi hantaran ringkas pada Facebook, Muhammad Nadir Al-Nuri turut memohon doa terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat Palestin.
“Giliran Rafah dibedil, tempat keluarga saya berlindung. Moga ada khabar yang mereka masih hidup setelah pengeboman tamat beberapa hari ini.
“Doakan kami, kawan-kawan yang baik-baik,” katanya hari ini.
Terdahulu media melaporkan, dalam beberapa hari kebelakangan ini, askar Zionis meningkatkan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza, yang menempatkan sebahagian besar pelarian.
Kementerian Kesihatan Gaza pada awal hari ini berkata, sekurang-kurangnya 92 orang terbunuh semalaman termasuk dalam pengeboman Israel ke atas tadika berkenaan. – KOSMO! ONLINE