fbpx

Piala Asia: Korea Selatan pakar minit akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HEUNG-MIN (kiri) muncul wira Korea Selatan apabila meledak gol kemenangan menerusi sepakan percuma menewaskan Australia 2-1 awal pagi semalam. – AFP

DOHA – Harapan Korea Selatan untuk menjulang trofi Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun hampir menjadi ke­nyataan selepas mara ke pentas separuh akhir dengan menewaskan Australia 2-1 di Stadium Al Janoub awal pagi semalam.

Pada perlawanan itu, skuad Taeguk Warriors terpaksa bermandi peluh sebelum melakar kemenangan dramatik hasil ­jaringan kapten, Son Heung-min pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit.

Ketua jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann mengakui, anak-anak buahnya terpaksa berjuang bermati-matian apabila The Socceroos mendahului dalam babak pertama sebelum mereka menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Hwang Hee-chan pada masa ­kecederaan.

“Ini adalah satu lagi aksi yang penuh drama. Namun, apa yang pen­ting kami sangat gembira untuk melayakkan diri ke peringkat separuh akhir. Ia adalah perlawanan yang sukar menentang pasukan berkualiti seperti Australia.

“Apa yang pasti, saya cukup bangga dengan semangat juang tinggi dipamerkan oleh barisan pemain. Kami semakin hampir untuk melakar sejarah, tetapi perjuangan perlu ditumpu pada aksi separuh akhir ­dahulu,” katanya.

Sementara itu, Heung-min tidak mahu menjadikan aspek kepenatan sebagai alasan buat dia dan rakan sepasukannya untuk memastikan misi menjulang trofi bola sepak paling berprestij benua Asia menjadi kenyataan.

“Sekarang bukan masa untuk rasa penat kerana perjuangan perlu diteruskan lagi. Fokus pa­sukan adalah untuk memastikan trofi berprestij ini dapat dibawa pulang ke tanah air,” kata bintang Tottenham Hotspur itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI