MELAKA – Pempengaruh dikenali sebagai ‘Boss Mario’ yang mengusahakan perniagaan gajet terkenal di negeri ini dilaporkan hilang sejak Jumaat lalu tanpa dapat dikesan oleh ahli keluarganya.
Menurut adiknya, Yew Lee Lee, 27, Mario atau nama sebenarnya, Yew Boon Xiang,30, hilang selepas keluar memandu ke Pantai Klebang sekitar pukul 3 pagi dan keretanya ditemui ditinggalkan di kawasan itu dalam keadaan berkunci.
Ujarnya, seluruh ahli keluarga masih buntu dengan kehilangan itu kerana Mario dikatakan tidak mempunyai masalah berkaitan perniagaan atau hubungan dengan orang lain.
“Hari ini telah masuk hari ketiga Mario hilang, kami sekeluarga buntu kerana dia tidak mempunyai sebarang masalah perniagaan kerana saya bekerja dengannya.
“Mario juga tidak mempunyai teman wanita atau mempunyai masalah dengan orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Taman Pertam Jaya, Semabok di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, dia memberitahu, kali terakhir Mario berkomunikasi adalah menerusi kumpulan WhatsApp kira-kira pukul 8 pagi untuk berkongsi resit pembelian oleh pelanggan, pada hari sama dia keluar ke Pantai Klebang.
“Selepas itu kami tidak dapat menghubunginya lagi sehinggalah malam dan terus membuat laporan polis mengenai kehilangannya di Balai Polis Batang Tiga.
“Mario tidak pernah buat begini kerana selalu dia mesti pulang ke rumah, paling lambat balik pun dalam pukul 11 malam,” ujarnya.
Katanya, sejak kehilangan Mario, pihaknya ada menerima maklumat daripada orang awam mengenai keberadaan anak kedua daripada tiga beradik itu termasuk di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, namun polis mendapati info tersebut adalah palsu.
Terdahulu, Mario mempunyai hampir 500,000 pengikut di media sosial dan terkenal kerana konten-kontennya memaparkan keharmonian bersama pekerjanya yang kebanyakannya berbangsa Melayu serta pelbagai program kebajikan dilakukannya.-KOSMO! ONLINE