KOTA BHARU – Dua orang pemotong rumput ‘menggigil’ selepas menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap di dalam longkang di Kampung Seribong, Pasir Tumboh di sini hari ini.
Muhamad Musahar, 35, dan rakannya Mohd. Araf Saupi, 25, menjumpai mayat yang berpakaian lengkap itu semasa sedang menjalankan kerja-kerja memotong rumput di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Menurut Muhamad, dia melihat seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang sedalam lebih satu meter itu.
“Saya menjenguk ke dalam longkang sebelum mendapati kedua-dua tangan dan kaki lelaki itu sudah berwarna kekuningan dan mengecut.
“Terkejut dengan penemuan mayat itu, saya terus berlari dan memaklumkan kejadian tersebut kepada Mohd. Araf yang berada tidak jauh dari kawasan longkang,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat seorang lelaki.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini untuk proses bedah siasat dah usaha mengenal pasti identiti lelaki itu sedang dijalankan. – KOSMO! ONLINE