TAPAH – Seorang tahanan lelaki etnik Rohingnya yang lolos daripada Depot Imigresen Sementara Bidor, memaklumkan, dia kelaparan kerana tiga hari tidak makan dan minum selain bergantung hidup dengan hanya meminum air sungai.
Menurut Ketua Kampung Bermin, Kamarulzaman Mohamad, 64, ketika ditemui tahanan yang ditemui di Kampung Bermin di sini kira-kira pukul 7.30 malam semalam itu, tidak bertindak agresif dan mengangkat tangan seolah-olah menyerah diri.
“Dia hanya minta maaf kerana melarikan diri dari depot, selain mengadu kelaparan. Saya, anggota polis dan penduduk kampung kasihan sebelum ambil semangkuk bihun goreng, sebotol air mineral serta segelas kopi untuknya.
“Dengan rakus dia makan dan minum, sekejap sahaja habis, mungkin hampir kebuluran kerana tiga hari dah tidak makan,” katanya ketika ditemui di Kampung Jambai, di sini petang tadi.
Beliau merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang merangkumi Kampung Jambai, Rebai, Bermin dan Sungai Gading yang mempunyai kira-kira 500 orang penduduk.
Kamarulzaman memaklumkan, ketika ditemui tahanan itu hanya memakai baju t berwarna biru kuat, berseluar pendek warna hijau, berkaki ayam dan dalam keadaan lemah.
Pada mulanya beliau mendapat aduan daripada penduduk kampung akan kehadiran kelibat seorang warga asing yang mengetuk pintu salah seorang penduduk kampung bagi meminta minuman.
“Sudah tentu penduduk kampung tidak berani untuk membukanya. Selepas itu, anggota polis dan penduduk kampung berpecah kepada dua kumpulan bersama kekuatan dua puluh orang termasuk polis dengan menggunakan motosikal dan kereta peronda polis.
“Mujur kami berjaya mengesannya tidak lama selepas itu. Katanya, dia melarikan diri dari depot itu bersama dengan seorang lagi rakan, namun berpisah beberapa hari kemudian,” katanya. – KOSMO! ONLINE