fbpx

Jangan ada suara sumbang pertikai keputusan Agong kes Najib – Asyraf Wajdi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf Wajdi selepas perjumpaan khas tertutup bersama ketua-ketua Bahagian UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, WTC di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto SHIDDIEQIIN ZON KOSMO!

KUALA LUMPUR – “Jangan ada suara-suara sumbang di luar sana mempertikaikan apa yang telah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu,” tegas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berhubung pengurangan tempoh hukuman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Asyraf Wajdi berkata, keputusan tersebut dibuat adalah berdasarkan perlembagaan yang mana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong.

“Semua tadi (hadirin) menjunjung titah, menjunjung terima kasih menjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. Sebagai institusi yang sentiasa membela dan mempertahankan Raja-Raja Melayu, kita menghormati keputusan dibuat.

“Perlembagaan menyatakan ini adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa. Ini kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perjumpaan khas tertutup bersama ketua-ketua Bahagian UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.

Perjumpaan khas itu dihadiri oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, Asyraf Wajdi berkata, pertemuan berlangsung kira-kira sejam lebih itu menjelaskan mengenai keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berhubung pengampunan Najib.

“Jadi semua kepimpinan sepakat utk bersatu hati meneruskan usaha pembelaan terhadap Najib,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman Najib sebanyak 50 peratus yang mana beliau akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, denda yang perlu dibayar Najib sebanyak RM210 juta turut dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib menjalani hukuman sejak 23 Ogos 2022 di Penjara Kajang selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata, UMNO meneruskan laporan polis terhadap bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang didakwa mengeluarkan kenyataan biadab terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Dia bukan mewakili kerajaan. Paling penting kita meneruskan laporan polis,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI