PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menaruh keyakinan bahawa beliau mempunyai peluang kembali ke pangkuan keluarga selepas gagal mendapat pengampunan penuh daripada Lembaga Pengampunan baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan anak perempuannya, Nooryana Najwa menerusi catatan di Instagramnya selepas selesai melawat bapanya di Penjara Kajang, semalam.
Menurut Exco Pergerakan Puteri UMNO itu, sebaik tiba, dia melihat bapanya memegang kertas keputusan Lembaga Pengampunan dengan riak wajah yang sangat mengecewakan.
“Yana tanya, ‘apa perasaan Daddy’, Daddy jawab, ‘kecewa, sangat-sangat kecewa. Tahu tak perasaan di mana kita dalam terkejut dan tiada siapa yang boleh bercakap dengan kita.
“Hilang dalam pemikiran sendiri, secara bersendirian’.
“Yana lihat matanya agak letih. Mungkin Daddy tak cukup tidur, merenung keputusan yang diumumkan semalam kerana kemungkinan beliau akan dikurung selama, empat, lima tahun lagi.
“Lima hari DSN (Datuk Seri Najib) menunggu dengan penuh harapan. Semua di sekeliling Daddy memberi kata-kata semangat ‘Insya-Allah Datuk, sikit masa saja lagi’,” tulisnya.
Tambah Nooryana, bapanya juga bercadang untuk menziarahi kubur arwah ibu bapanya sebaik dibebaskan, namun tidak kesampaian.
Katanya, pada hari sebelum Najib ke mahkamah, semua pengawal penjara menganggap itu adalah kali terakhir mereka bertemu dengan bekas Presiden UMNO itu kerana menganggapnya akan diberikan pengampunan penuh.
“Pada pagi Isnin, 29 Januari, pada hari mesyuarat Lembaga Pengampunan, sebelum Daddy ke mahkamah, pengawal penjara fikir ini kali terakhir mereka akan berjumpa dengan DSN, mendoakan yang terbaik untuk beliau.
“DSN juga beritahu mereka bahawa dia mahu menziarahi kubur ayahanda dan bondanya setelah diberikan kebebasan. Tidak kesampaian,” katanya.
Dalam pada itu, Nooryana berkata, satu petisyen pengampunan diwujudkan bagi mendapatkan keadilan sewajarnya untuk Najib bagi kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Katanya, sebelum pulang, Najib juga sempat berpesan kepadanya untuk terus kekal positif dan yakin bahawa suatu hari mereka sekeluarga akan bersama kembali.
“Dia dihukum kerana memberikan duit kepada kebajikan. Dia dihukum kerana perlukan lebih masa untuk buktikan dirinya tidak bersalah.
“Dia dihukum kerana darahnya UMNO dan tidak akan berundur untuk parti itu. Dia dihukum kerana dia Bossku, kerana dia Najib Razak.
“Sebelum Yana pulang tadi, DSN pesan ‘jaga diri baik-baik, stay positif. Akan ada peluang dan harinya kami bersama kembali’
“DSN tahu ramai sahabat dan penyokongnya yang sedih dan kecewa. Percayalah, DSN sedang buat apa yang terdaya dan apa yang mampu, untuk kembali bersama semua,” katanya.
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara ketika ini akan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
Perkara itu dimaklumkan Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-16 dalam satu kenyataan, kelmarin.
Menurut kenyataan itu, sebanyak lima kertas pengampunan termasuk permohonan Najib dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Yang Di Pertuan Agong ke-16, AI-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah – KOSMO! ONLINE