JAKARTA – Seorang pemuda berusia 34 tahun yang mempunyai berat badan 210 kilogram pitam di rumahnya di Pulau Bali semalam, sebelum dihantar ke hospital menggunakan trak pikap, lapor portal berita Tribun Trends hari ini.
I Putu Bagus Trisna Hadibrata terpaksa dikejarkan ke Hospital Sanjiwani Gianyar untuk mendapatkan rawatan selepas ambulans yang dipanggil enggan mengambilnya.
“Tidak mungkin pesakit itu boleh dibawa masuk ke dalam ambulans kerana badannya yang besar,” kata Ketua Palang Merah Gianyar, I Made Gede Lokayasa.
Dalam pada itu, Ketua Badan Tindak Balas Bencana Gianyar, Ida Bagus Putu Suama berkata, proses pemindahan lelaki tersebut ke dalam trak pikap melibatkan ramai orang termasuk penduduk tempatan serta mengambil masa yang lama.
Hadibrata dipercayai mengalami sakit gout dan kini dirawat di hospital. – AGENSI