GEORGE TOWN – Tiga mangsa dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta jenis Mazda di Kilometer 5.7, Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah atau lebih dikenali Jambatan Kedua dekat sini, hari ini.
Seorang lagi mangsa berusia 38 tahun dilaporkan terselamat dan dipercayai tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, kemalangan kira-kira pukul 12.08 tengah hari itu membabitkan kereta jenis Mazda CX3 dan Mazda CX5.
“Dalam kemalangan itu, kereta Mazda CX5 dilaporkan terbakar sehingga 80 peratus dan tercampak sejauh 300 meter di atas jambatan tersebut.
”Terdapat empat orang mangsa terlibat, di mana dua mangsa yang menaiki kereta jenis Mazda CX3 cedera dan telah dibawa ke Hospital Sungai Bakap, manakala seorang lagi mangsa yang menaiki kereta ini selamat.
”Seorang lagi mangsa cedera yang menaiki kereta jenis Mazda CX5 telah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya.
”Operasi tamat pada pukul 1.32 petang dan kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) untuk tindakan selanjutnya,” katanya. -KOSMO! ONLINE