fbpx

TLDM terima empat FIC G2000 Mk II

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIC G2000 Mk II direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan dan ketepatan selain sangat efektif di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek.

KOTA KINABALU – Empat bot pemintas laju atau Fast Interceptor Craft (FIC) G2000 Mk II baharu yang diterima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan mengukuh­kan lagi keselamatan maritim di Sabah terutama di kawasan pantai timur negeri itu.

Majlis penyerahan empat FIC G2000 Mk II oleh Gading Marine Industry Sdn. Bhd. (GMISB) kepada TLDM itu direalisasikan di Pangkalan TLDM, Sepanggar semalam.

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa dengan jumlah keseluruhan aset yang akan diterima sebanyak 13 buah bot dan ia akan diserahkan secara ber­pe­ringkat.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin hadir bagi menyaksikan dan ­me­nyempurnakan majlis penye­rahan aset baharu TLDM yang di­serahkan oleh Pengarah Urusan GMISB, Datuk Ir. Jamalolail Mohd. Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Semua empat kapal pemintas laju itu akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan bagi memperkasa tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM.

Bot pemintas laju atau FIC ini direka khas dengan ciri-ciri kecekapan, kelajuan dan ketepatan bagi membolehkan TLDM bertindak dengan pantas dalam mencegah aktiviti jenayah yang berlaku di dalam perairan negara.

Aset-aset sebegini terbukti efektif dalam membendung aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek.

Dalam meningkatkan keberkesanan aset tersebut, susun atur dalaman FIC G2000 Mk II ini telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.

Pada fasa pertama ini, syarikat GMISB menyerahkan empat buah FIC G2000 Mk II yang berjaya di­siapkan dalam tempoh 16 bulan dan dibina sepenuhnya di fasiliti limbu­ngan GMISB di Sitiawan, Perak.

Terdahulu pada Februari 2021, TLDM telah menerima sejumlah enam buah FIC G2000 Mk I yang mana aset ini turut dibina oleh GMISB melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (OP BENTENG).

Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini adalah unik kerana ia dilengkapi dengan Remote Control Weapon Station (RCWS) Escribano yang membolehkan pe­nembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.

FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot.

Hadir sama adalah Ketua Setia­usaha Kementerian Pertahanan, ­Datuk Seri Isham Ishak; Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Yakub Khan dan wakil agensi kerajaan negeri dan pihak pengurusan tertinggi TLDM.


MOHAMED KHALED (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan FIC G2000 Mk II antara Jamalolail (kanan) dan Abdul Rahman (kiri) di Pangkalan TLDM, Sepanggar, Kota Kinabalu semalam.

Jelasnya, FIC berperanan sebagai elemen soko­ngan pertahanan maritim kepada TLDM dalam me­ningkatkan keupayaan pengawasan dan pintasan terutamanya di perairan yang cetek dan ber­pulau.

“Saya juga ingin mengambil peluang untuk menekankan bahawa usaha untuk menangani ancaman bukan tradisional tidak terhad kepada sesebuah agensi sahaja.

“Seperti dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025 dan Kertas Putih Pertahanan, pendekatan pertahanan menyeluruh menekankan keperluan untuk setiap agensi kerajaan berkerjasama antara satu sama lain bagi membentuk kekuatan menyeluruh dan bersepadu.

“Oleh itu, saya beri jaminan bahawa TLDM akan sentiasa beker­jasama dengan pasukan sahabat yang lain dalam memastikan usaha memelihara keutuhan dan melin­dungi kedaulatan negara dapat dilaksanakan dengan efektif dan efisien,” katanya.

Katanya, pembinaan FIC G2000 Mk II ini berjaya disiapkan tepat pada masanya seperti yang ditetapkan di dalam kontrak.

Kejayaan itu membuktikan bahawa industri pertahanan tempatan khususnya dalam sektor ma­ritim juga mempunyai kebolehan dan berpotensi untuk lebih maju serta berdaya saing dengan industri pertahanan maritim di peringkat global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI