KUALA SELANGOR – Seorang wanita yang maut selepas kereta dipandu merempuh pacuan empat roda di Jalan Tanjong Karang – Sungai Besar, Khamis lalu, dijadualkan melangsungkan perkahwinan, Mei ini.
Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu mengakibatkan mangsa, Siti Norfatihah Anan berusia 24 tahun meninggal dunia di tempat kejadian.
Bapa mangsa, Anan Saleng, 52, berkata, anak ketiga daripada 10 beradik itu yang bekerja sebagai pembantu kedai farmasi baharu bertunang pada pertengahan Januari lalu.
Katanya, dia reda dengan apa yang berlaku dengan kemalangan yang menimpa anaknya telah dimaklumkan kepada keluarga tunang arwah pada malam yang sama.
“Kami pasti merasai kehilangan Siti Norfatihah kerana dia yang sentiasa menceriakan kami.
“Dia sepatutnya berkahwin pada Mei ini. Arwah juga janji hendak bawa kami sekeluarga makan bersama dalam tempoh beberapa hari ini memandangkan baru sahaja dapat gaji pertamanya, pada 31 Januari lalu,” katanya, hari ini.
Terdahulu, keluarga mangsa tersebut menerima lawatan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh Omar.
Sementara itu, ibu arwah, Ruhmazulaili Abu Hasan, 51, memberitahu, dia terkilan apabila tidak dapat berbuka puasa dengan Allahyarham ekoran dan kejadian menimpa anaknya itu dimaklumkan penduduk kepada suaminya.
“Penduduk memaklumkan mereka nampak kereta Kenari warna merah jambu suami dalam keadaan terbalik.
“Bila dengar sebegitu, saya terus telefon Siti Norfatihah dan panggilan itu diangkat oleh seorang lelaki yang memaklumkan agar segera ke lokasi kejadian,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Tanjong Karang-Sungai Besar di sini, Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE